Mahathir Lancar Serangan Paling Tajam Pada Najib


Jika bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri kini Datuk Seri Najib Razak bertembung dalam perlawanan gusti, mungkin Najib akan menyerah setiap lima minit.

Dalam posting di blognya hari ini, Mahathir melancarkan serangan paling tajamnya terhadap Najib, menyentuh setiap isu daripada Altantuya, 1MDB hinggalah Jho Low.

Dikenali dengan sengatan berbisanya dan sikap tidak peduli kepada kesan yang dibawa, Mahathir menulis, “Saya tidak nyanyuk. Sesiapa yang mengatakan saya nyanyuk, sedang menipu diri.”

Beliau bermula dengan meramalkan Umno dan BN akan tewas pada Pilihanraya Umum ke-14, memandangkan terlalu banyak tuduhan terhadap Najib yang tidak mampu menjawabnya.

“Ia bermula dengan kes pembunuhan Altantuya. Dua polis akhirnya didapati bersalah membunuhnya, namun Sirul lari ke Australia. Dia membuat kenyataan bahawa dia diarah untuk membunuh. Rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi arahan.

“Sebagai pengawal peribadi Datuk Seri Najib, dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang memberi arahan. Tetapi selain daripada Datuk Seri Najib berkata Sirul 'merepek', tidak ada siasatan yang dibuat. Ini adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh (kerana dihukum gantung) kerana menjalankan arahan,” kata Mahathir.

Perdana Menteri paling lama mentadbir negara itu kemudiannya menyentuh kemelut 1MDB.

“Tuduhan penyelewengan dalam urusan wang berbillion ringgit oleh Jho Low telah dibuat dengan bukti-bukti yang jelas. Tuduhan ini tidak dijawab selain dari berkata ia adalah pembohongan.

“Soalan-soalan lain berkenaan 1MDB tidak dijawab selain daripada berkata asetnya besar,” katanya sebelum mempersoalkan hubungan 1MDB dengan Petrosaudi.

“Siapa dianya Jho Low? Pegawai Malaysia yang dilantik mengurus dana 1MDB mengaku mereka diarah oleh Jho Low yang mendakwa ia mendapat kepercayaan penuh dan arahan dari Datuk Seri Najib. Gambar-gambar Jho Low dan kelakuannya, umurnya yang amat muda serta cara hidupnya tidak menggambarkan peribadi yang menyakinkan orang ramai. 

“membeli rumah di New York dan Hollywood beratus juta Ringgit. Kemudian rumah-rumah ini dijual kepada anak tiri Najib (Riza Aziz) dengan harga ratusan juta ringgit.Dari mana datangnya duit beratus juta kepada Riza Aziz tidak dapat dijelas. Keluarga Tun Razak termasuk Najib menafikan duit ini adalah dari keluarga. Pelaburan ratusan juta dalam filem “Wolf of Wall Street” oleh Riza datang dari mana?" soalnya lagi.

Mahathir kemudian menghalakan serangannya ke arah pembelian jet baru oleh kerajaan.

“Sementara itu, walaupun Kerajaan menghadapi kekurangan wang yang besar dan terpaksa hutang, Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri membeli sebuah lagi pesawat mewah. Umum mengetahui pesawat ACJ319 yang sedia ada diguna bukan sahaja untuk tugas rasmi tetapi sebagai kenderaan peribadi untuk Datuk Seri dan Datin Seri.

“Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, dalam keadaan rakyat terpaksa bayar cukai yang lebih tinggi, dalam keadaan nilai ringgit yang menurun teruk, dalam keadaan kos sara hidup meningkat dan rakyat dilanda banjir dan kehilangan ratusan juta ringgit, Kerajaan membazirkan wang ratusan juta untuk pesawat mewah walaupun sudah ada pesawat-pesawat milik Kerajaan."

Wah, anda sudah merasakan sengatannya? Saya tidak tahu anda bagaimana, namun membacanya sahaja sudah membuatkan saya rasa tidak senang. Saya hanya boleh bayangkan kesannya kepada individu yang menerima serangan itu.

Mahathir juga menyatakan, Najib telah hilang kepercayaan orang Melayu selepas mengenepikan Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan turut ditolak oleh masyarakat Cina.

“Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Datuk Seri Najib. Ahli Umno dan pemimpinnya perlu sedar Umno, dan dengan itu BN, akan kalah jika Najib memimpin Umno hingga PRU14.

“Sekali Umno kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula. Ramai juga ahli dan pemimpin Umno yang setia secara buta tuli kepada pemimpin. Saya juga setia tetapi kesetiaan saya ialah kepada parti dan orang Melayu yang diwakili olehnya. Bukanlah mudah bagi saya menulis blog ini. Tetapi demi bangsa dan negara saya terpaksa dedah semua ini.

Ramai antara kita yang akan bersedia memberi “tabik hormat” kepada Mahathir dengan posting terbarunya itu. Kita mungkin tidak setuju dengan sebahagian dasarnya ketika memimpin negara. Namun untuk posting ini, Mahathir layak menerima lima bintang – bersalut emas.


Mahathir sememangnya satu dalam sejuta – beliau barangkali satu-satunya rakyat Malaysia yang boleh menghalakan serangan terhadap isu-isu yang jika dibawa oleh rakyat biasa atau politikus pembangkang, tindakan pasti akan dikenakan.

Namun beliau mampu, mungkin kerana statusnya dan rasa hormat pemimpin dan rakyat negara ini terhadapnya. Dan memang, Mahathir layak menerima penghormatan ramai.

Isu yang disuarakan Mahathir hari ini bukanlah sesuatu yang baru. Politikus pembangkang sudah menyuarakan kebimbangan sama. Namun malangnya, mereka sering ditahan dan didakwa atas tuduhan hasutan.

Dan oleh kerana soalan-soalan itu disuarakan Mahathir, dan bukan “hanya bebelan” politikus pembangkang, ia membawa pengertian dan “berat” yang berlainan.

Maka tidak mengejutkan setakat jam 2 petang tadi, beberapa jam selepas posting itu, blognya chedet.cc “secara misteri” tidak boleh dibuka. Percubaan membukanya dibalas mesej “laman ini tidak boleh dilayari.”
0 Komentar untuk "Mahathir Lancar Serangan Paling Tajam Pada Najib"

Back To Top