PETALING JAYA: Datuk Lee Chong Wei tidak bersalah, sebaliknya Malaysia kekurangan sistem latihan atlet handalan yang sempurna dan maju, kata Misbun Sidek.
“Lapan tahun lalu, saya pernah menyuarakan masalah sistem latihan negara ketinggalan zaman, tetapi ia tidak diterima,” kata Misbun yang dipetik China Press dalam satu majlis di Pulau Pinang, semalam.
Bekas jurulatih badminton negara itu berkata, punca utama Malaysia tidak mampu melahirkan atlet pingat emas disebabkan masalah “duit” yang menyebabkan negara tidak dapat melatih atlet handalan negara seperti cara China melatih Lin Dan.
“Saya pernah dipelawa Ketua Jurulatih Badminton China, Li Yongbo untuk melawat pusat latihan mereka dan saya kagum dengan saiz dan kecanggihan pusat latihan mereka,” kata bekas pemain badminton negara itu.
Beliau berkata, China menggunakan cara melatih pejuang masa depan untuk melatih Lin Dan, di mana bekas juara dunia itu mempunyai sebuah pasukan bantuan terdiri daripada tujuh anggota yang akan memberi latihan fokus, termasuk dari segi kualiti psikologi, kecergasan fizikal dan pemakanan.
“Bagaimanapun, Malaysia ketinggalan dari segi ini kerana kos diperuntukkan untuk jurulatih tidak tinggi, jadi sekumpulan orang perlu menjaga pasukan lain, selain badminton,” katanya.
Misbun berkata, China mempunyai Chen Long sebagai pengganti Lin Dan, tetapi Malaysia masih tiada pelapis yang mampu menggantikan Chong Wei.
“Ketika Chong Wei bertemu Chen Long, kekuatan fizikal sudah banyak dihabiskan (ketika melawan Lin Dan).
“Tambahan, tiada orang yang memberi ‘petunjuk emas’ untuk beliau mengimbau kembali kesilapannya dalam Olimpik lalu dan pertandingan besar lain, galakan psikologi, mencari cara untuk menang serta menjalani latihan fokus,” katanya yang pernah melatih Chong Wei selama 10 tahun.
Chong Wei menjadi naib juara buat kali ketiga di pentas final Olimpik, selepas tewas 18-21 dan 18-21 kepada Chen Long di Riocentro, Sabtu lalu.
Malaysia mengakhiri misi di Olimpik Rio dengan empat perak dan satu gangsa, termasuk tiga pingat perak dalam acara badminton, satu lagi perak melalui acara terjun dan gangsa menerusi acara berbasikal.-FMT
0 Komentar untuk "Setelah Lama Misbun Bersara..Akhirnya Misbun DEDAH Punca Kekalahan Malaysia !!!"