Emma Maembong Mahu Teruskan Legasi Bapa



Emma Maembong

Pelakon Emma Maembong berhasrat untuk meneruskan lagesi bapanya iaitu seorang pelukis terkenal negara, Ismail Maembong dan terlibat secara serius dalam bidang itu.

Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 20, berkata, sebelum bergelar artis dia banyak menghabiskan masa dengan melukis dan menggemari lukisan jenis animasi dan potrait.

"Sejak berusia 12 tahun lagi saya sudah didedahkan dengan dunia lukisan oleh ayah dan beliau adalah sumber inspirasi saya dalam bidang tersebut.

"Sebelum ini kami sering menghabiskan masa bersama dengan melukis sehingga pukul tiga atau empat pagi dan beliau banyak memberikan inspirasi kepada saya sebagai seorang pelukis," ujarnya.

Kelibat Emma boleh disaksikan menerusi drama bersiri Cinta Itu Milikku terbitan Orangetree Production yang sedang bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 7 malam di TV3.

Selain Emma, drama bersiri 24 episod itu turut menampilkan Fazreen Rafi, Ana Dahlia, Ery Putra, Mustapha Kamal, Karl Shafek, Sherry Merlis dan Liza Abdullah.

Dalam pada itu, Emma berkata, dia tidak pernah berasa malu untuk mengakui dirinya 'anak ayah' kerana sangat rapat dan manja dengan bapanya itu.

Emma memberitahu hubungan mereka rapat selepas ibu bapa mereka bercerai ketika usianya masih kecil dan dia tinggal bersama bapanya itu.

"Ayah seorang yang sangat tegas namun jarang sekali dia memarahi saya dan adik-beradik lain kalau ada kesilapan kami lakukan. Dia sentiasa menggunakan nasihat untuk menyedarkan kami.

"Hubungan kami sangat rapat kerana saya tinggal bersamanya sejak kecil selepas ibu bapa bercerai dan banyak perkara tentang kehidupan saya belajar daripadanya terutama seni lukisan," ujarnya.

Cerita Emma lagi, sejak kecil dia tidak boleh berpisah dengan ayahnya itu dan akan mengikut ke mana sahaja beliau pergi.

"Kerana restu daripada ayah saya menjejakkan kaki sebagai pelakon dan doa beliau membuatkan saya sentiasa tabah dalam mengharungi pelbagai cabaran dalam dunia hiburan ini walaupun masih baru," katanya.


0 Komentar untuk "Emma Maembong Mahu Teruskan Legasi Bapa"

Back To Top